Saturday, 9 January 2016

Iktibar: Insan Di Dalam Cahaya


Kisah ini mengandungi perkara-perkara yang sukar difahami pada logika akal. Sebarang keraguan hendaklah dirujukkan kepada yang ahli. (baca selanjutnya untuk mengetahui keahlian yang dimaksudkan)
Pakcik Zainuddin selalu sakit pada bahagian kepala, kaki, pinggang dan belakang. Sekian lama beliau menderita menyebabkan mereka berpindah-randah hinggalah pada saat ini mereka menetap di sebuah pondok pengajian. Namun ternyata Pakcik Zainuddin telah tersilap percaturan kerana keadaan penyakitnya bertambah parah setelah menetap di pondok tersebut.

Apabila kesakitan pada mana-mana bahagian menyerang, beliau akan kesakitan yang teramat sangat. Maka mahu atau tidak terpaksalah beliau berikhtiar ke sana ke mari. Keadaan menjadi lebih sulit apabila isterinya yang mengidap kencing manis juga diserang masalah yang hampir sama. Sudah jatuh ditimpa tangga, semasa bermula proses rawatan bersama kami, kedua kakinya isterinya terpaksa dipotong oleh pihak hospital kerana penyakitnya itu sudahpun sampai ke tahap kritikal.

Selain sakitnya yang tidak berkesudahan, Pakcik Zainuddin juga mengalami berbagai-bagai bentuk gangguan baik semasa tidur mahupun jaga sepanjang tempoh beliau berikhtiar mengubati penyakit misterinya ini. Berbagai pengalaman yang telah beliau tempuhi dan kos rawatannya mencecah lebih seratus ribu ringgit namun semuanya tidak menjadi. Antaranya pengalaman rawatan beliau yang diceritakan kepada kami;

Berulang alik ke Selangor beberapa kali, walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang teramat-sangat semasa rawatan, alhamdulillah gangguan tersebut berjaya dikeluarkan namun ianya tetap kembali sebelum sempat pakcik Zainuddin kembali ke rumah.

Pernah juga seorang perawat telah meminta sedikit tanah kubur dari sebuah perkuburan cina, beliau melaksanakannya kerana terlalu terdesak dan akibatnya beliau tidak dapat tidur selama beberapa hari kerana diganggu hantu cina. Ada juga perawat yang meminta sedikit daging korban beserta tulang untuk tujuan rawatan, akibatnya beliau telah diganggu oleh puluhan makhluk siang dan malam.

Antara rawatan lain yang beliau jalani ialah mandi di sebuah kawasan peranginan bersama isterinya dengan keadaan lengkap berjubah dan beserban pada pukul 1 pagi. Ini juga beliau lakukan namun hasilnya tetap sama walaupun telah menyebabkan beberapa pemuda yang berada di kawasan berkenaan bertempiaran kerana terserempak semasa mereka berkeadaan serba putih.

Kebanyakkan perawat yang beliau temui hanya boleh menceritakan keadaan yang menimpanya sewaktu itu namun tidak mampu untuk mengeluarkan gangguan-gangguan tersebut. Sebidang tanah dan rumah yang pernah dibelinya terpaksa dijual dengan harga yang cukup murah demi untuk menanggung kos rawatan mereka suami isteri lagipun mereka tidak boleh menetap di mana-mana pun tanpa gangguan yang memeritkan.

Walaupun Pakcik Zainuddin mengalami penyakit misteri yang berbagai-bagai, namun beliau ternyata memiliki berbagai-bagai pengalaman yang cukup sukar untuk dijelaskan. Pakcik Zainuddin pernah dihanyutkan arus deras semasa banjir semasa kecilnya namun yang menghairankan, beliau langsung tidak tenggelam hinggalah beliau diselamatkan. Beliau juga pernah terjatuh ke dalam perigi dan berada didalam air selama hampir 2 jam sebelum diselamatkan oleh bapanya. Menurut Pakcik Zainuddin, beliau boleh bernafas seperti biasa sewaktu berada di dalam air perigi tersebut.

Keadaan demi keadaan dan perawat demi perawat yang berlanjutan selama hampir 7 tahun, namun tidak berkesudahan hinggalah pada suatu hari semasa beliau berada di sebuah rumahnya berhampiran Pusat Rawatan Islam Nasrullah, sesudah solat zohor, beliau menadah tangannya berdoa dengan keadaan tubuh badannya yang kesakitan tanpa sebab “Ya Allah, Kau tunjukkanlah padaku bomoh mana yang boleh merawat aku”. Sebaik beliau mengaminkan doanya, jirannya datang bertamu dan terus sahaja memberitahu bahawa di sini ada Pusat Rawatan.

Sebaik mendengar penjelasan jirannya itu, terus sahaja beliau mencapai motosikalnya dan terus ke tempat kami dengan bantuan jirannya itu. Namun kami perawat tidak ada di situ dan terpaksalah beliau membuat panggilan pertamanya kepada kami dan terpaksa juga beliau bersama jirannya itu menunggu kami hampir sejam.

Inilah pertemuan pertama kami dengan Pakcik Zainuddin dan alhamdulillah dengan rawatan pertama, kesakitan yang selama ini menghantuinya hilang buat pertama kalinya. Adalah menjadi kebiasaan mereka yang mengalami penyakit yang bertindih-tindih seperti ini ada gangguan saka dan gangguan saka ini mahu tidak mahu mestilah dikeluarkan terlebih dahulu agar proses rawatan selanjutnya lebih mudah. Setelah saka yang menganggu dirinya ketika itu diputuskan, keadaan Pakcik Zainuddin tiba-tiba berubah menjadi seperti sediakala dan ianya amat menghairan dan sekaligus menggembirakannya.

Kegembiraan Pakcik Zainuddin hanya sehari, beliau diserang lagi dan sekali lagi kami bertemu. Ternyata ada riak-riak ketidakpuasan hati dalam diri Pakcik Zainuddin. Tidak dinafikan, mana-mana pesakit setelah mereka memutuskan saka dan mengeluarkan belanja yang banyak, namun sakitnya berulang akan rasa tidak puashati. Namun setelah rawatan dibuat ternyata Pakcik Zainuddin memiliki saka dari jenis yang lain pula. Namun keyakinan pada dirinya terhadap rawatan yang kami lakukan, membuatkan beliau sekali lagi sanggup memutuskan sakanya dan sekali lagi kesakitan yang dialaminya hilang seperti sediakala.

Keadaan ini juga tidak lama, Pakcik Zainuddin datang lagi dan tetap dengan masalah yang sama iaitu saka dan pendamping. Tidak kurang dari empat jenis saka dan berjenis-jenis pendamping kami putuskan termasuk juga saka dari pihak isterinya sendiri hinggalah satu hari, gangguan yang dikeluarkan mengakui yang ianya datang dari jalan sihir. Proses rawatan seterusnya semuanya berkisar dengan masalah sihir dan gangguan yang datang bersilih-ganti.

Lazimnya di sinilah satu ujian besar kepada mereka yang menderita masalah seumpama ini. Kurangnya keyakinan kepada perawat dan masalah biaya yang besar terutama bagi masalah saka, pendamping dan jenis-jenis sihir tertentu, akan menyebabkan pesakit berputus asa dan mula mencari perawat lain, maka masalah seperti ini seakan tiada kesudahannya. Bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan mudah dan murah. Sekiranya tidak sanggup berkorban maka kesembuhan mungkin sukar. Berubat juga adalah ibadah maka perlu ada keihklasan dan kesungguhan. Kami hanya boleh membantu dengan cara, ilmu dan persyaratan yang dikurniakan kepada kami sedangkan kesembuhan hanya milik Allah swt.

Keadaan Pakcik Zainuddin dan isterinya yang diserang bersilih-ganti baik dari jalan sihir dan gangguan berlarutan selama hampir tiga bulan dan selama inilah juga kami perawat berulang alik ke berbagai-bagai lokasi seperti di pondok pengajian, rumahnya, hospital, rumah-rumah saudara mereka dan sebagainya kerana keadaan memaksa Pakcik Zainuddin dan isterinya berpindah-randah.
Berbagai bentuk sihir yang sukar dan pelik digunakan bagi menghancurkan Pakcik Zainuddin dan isterinya namun alhamdulillah kesemuanya berjaya kami patahkan. Pernah isterinya dikenakan sihir sembunyi ruh hingga beliau koma selama hampir dua minggu namun ianya juga berjaya kami patahkan dengan izin Allah.

Kesungguhan Pakcik Zainuddin untuk merawat diri dan isterinya sungguh kuat hinggalah pada suatu hari di Pusat Rawatan kami, sesuatu keadaan yang sangat berbeza berlaku. Menurut mediator kami Puan Rodiah, beliau dapat merasakan semasa di rumahnya lagi sebelum Pakcik Zainuddin membuat panggilan bahawa terasa kedinginan dan kenyamanan yang sungguh luar biasa walaupun ketika itu cuaca panas. Sebaik bertemu dengan Pakcik Zainuddin, suasana tersebut bertambah ketara namun Pn Rodiah masih tidak tahu sebabnya. Setelah kesemua gangguan pada tubuh Pakcik Zainuddin dikeluarkan, saya dapat merasakan adanya sesuatu yang tersembunyi tetapi berada bersama kami. Setelah diamati secara tafakur ternyata adanya lingkaran tali yang bercahaya di pinggang Pakcik Zainuddin dan ianya bersambung kepada sesuatu yang bercahaya dan bersinar terang hingga tidak dapat dilihat di dalamnya namun saya dapat merasakan ada sesuatu di dalam cahaya tersebut. Melalui mediator saya cuba memanggilnya keluar ternyata ianya bersambut tetapi dengan keadaan yang sangat berbeza dari kebiasaannya.

Alhamdulillah, dengan izin Allah kami dapat berdialog dengannya. Ternyata suaranya, peribadinya, pertuturannya, akhlaknya sungguh mulia dan mempersonakan. Saya cuba berwaspada agar tidak tertipu namun aura kehadirannya begitu syahdu dan mengasyikkan. Terasa amat tenang dan tenteram apabila berdialog dengan insan ini dan perasaan tenang dan tenteram yang luar biasa ini terasa hampir seminggu lamanya.

Saya bersikap berhati-hati menjaga pertuturan dan adab apabila berbicara dengan hamba Allah di hadapan kami ketika itu agar tidak tersilap percaturan. Dari dialog saya bersamanya ternyata beliau pernah bertemu dengan Pakcik Zainuddin pada zaman kanak-kanaknya dan selalu memperhatikan kami melakukan rawatan dan memberi beberapa nasihat yang amat berguna. Sebelum berpisah saya memohon maaf kepadanya sekiranya melakukan sebarang kesalahan dan tidak lupa memintanya mendoakan kami semua.

Sekiranya setelah membaca kisah ini dan terasa tersinggung, keraguan dan kemusykilan, tanyakanlah kepada yang ahli. Di sini ingin sekali saya memberi sedikit tip untuk membezakan yang ahli atau tidaknya seseorang itu untuk persoalan seumpama ini.

Harus difahami bahawa ilmu itu ada 2 jenis iaitu ilmu lidah dan ilmu hati. Ilmu lidah ialah semua bentuk ilmu yang boleh dipelajari melalui guru, kitab/buku, mendengar, melihat dan sebagainya manakala ilmu hati ialah ilmu dari Allah swt terus ke hati seperti firman Allah dalam surah As-Syams ayat 8 yang bermaksud “dan diilhamkan kepadanya yang salah dan yang benar”..

Dan harus diingat, ilmu jenis ini juga adatnya jarang diilhamkan terus kepada seseorang itu tanpa sebab, maksudnya mereka yang benar mujahadah, nawaitu dan kaedahnya (mesti mengamalkan syariat yang benar) sahaja lazimnya dianugerahkan ilmu ini. Mereka ini pula sukar dikenali dan di sini saya berikan tip ini untuk mengenali golongan ini.. Tanya kepada mereka apakah martabat ihsan dan bagaimana mencapainya tetapi sebelum bertanya pastikan nawaitu kita benar kerana Allah Taala kerana kalau niat kita tak betul buruk akibatnya.. Sebenarnya banyak bentuk soalan lain boleh ditanyakan tetapi martabat ihsan merupakan matlamat utama golongan ini maka ini menjadikan mereka arif tentang persoalan ini.

Golongan ilmu lidah boleh menjawab apa itu martabat ihsan tetapi tidak tahu cara bagaimana untuk mencapainya dan golongan yang ada ilmu hati tahu apa itu martabat ihsan dan tahu bagaimana untuk mencapainya secara terperinci atau sekurang-kurangnya tahu siapa yang boleh membantu kita mencapai martabat ihsan.

Tak semestinya mereka yang ada sarjana dari mana-mana pengajian tinggi Agama, mufti, kadhi, ustaz atau seumpamanya memiliki ilmu hati ini dan sekiranya golongan seperti ini memiliki ilmu hati ini maka mereka terlebih aula. Jadi sekiranya ada diantara pembaca yang ada title seperti di atas, sudi-sudilah tanya soalan seperti di atas kepada diri sendiri dan jujurlah dengan apa yang dijawab oleh hati kita. Insyaallah kalau kita manusia yang benar dan jujur kepada Allah, akan menemukan sesuatu yang tak ternilai di dalam diri kita sendiri.

Sekiranya sudah ditemui golongan yang ada keahlian seperti ini, maka tanyalah apa yang dimusykilkan, insyaallah ada jawapannya dan tanda jawapan itu benar ialah akan menambahkan keimanan kita , insyaallah. “dan apabila dibacakan ayat keterangan Kami, bertambahlah keimanan mereka” firman Allah…..

Dialog saya bersama insan ini membuatkan Pakcik Zainuddin terkenangkan zaman remajanya dan mengkisahkan kejadian ini kepada kami;

Bapa Pakcik Zainuddin merupakan seorang yang sangat warak dan banyak bersahabat dengan mereka yang menjalani riadah kerohanian termasuk seorang pakcik yang sangat berbeza dari yang lain. Pakcik ini saya namakan sebagai Abdullah, sangat menyukai Pakcik Zainuddin. Pakcik Abdullah pernah memberi suatu tawaran yang hebat pada Pakcik Zainuddin, katanya “ilmu apa yang hang mahu, habaq kat pakcik!” maka Pakcik Zainuddin yang masih remaja memberi jawapan “ilmu perempuan!!”.. Pakcik Abdullah hanya tersenyum sambil berkata “Allah nak macam tu!!”.. maka dia pun mengajarkan Pakcik Zainuddin akan kaedahnya. Sewaktu mencuba ilmu itu, Pakcik Zainuddin memanggil seekor ayam dan ternyata ayam tersebut datang padanya tanpa berlengah.. Mashaallah!! Namun ilmu tersebut hilang darinya setelah beliau mula mengambil minuman keras sewaktu dalam tentera. Memang Pakcik Zainuddin menyesal meminta ilmu yang bukan-bukan namun seperti yang dikatakan Pakcik Abdullah “Allah nak macam tu!!”…

Menurut Pakcik Zainuddin lagi, sewaktu bapanya dan Pakcik Abdullah berbual pada suatu hari, timbul keinginan dalam hatinya untuk berjumpa dengan Pakcik Abdullah secara sendirian, maka setelah Pakcik Abdullah hendak balik maka Pakcik Zainuddin pun terus berlari ke sebuah hentian bas berhampiran kerana beliau pasti Pakcik Abdullah akan menunggu bas di situ. Berjam-jam Pakcik Zainuddin menunggu namun Pakcik Abdullah tidak juga muncul sedangkan jarak rumahnya dengan hentian bas tersebut hanya beberapa rantai sahaja dan tidak ada pula jalan lain selain jalan yang beliau lalu. Itulah kali terakhir Pakcik Zainuddin bertemu dengan Pakcik Abdullah.
Keadaan Pakcik Zainuddin sudah banyak berubah, kesakitan dan gangguan yang beliau alami selama ini sudah hilang entah ke mana. Alhamdulillah, kini beliau sudah sihat kembali setelah hampir tiga bulan mendapat rawatan dari kami. Semoga beliau pulih sepenuhnya dengan rahmat dan kurnia Allah swt..amin.

Wabihi wallahu `alam.

No comments:

Post a Comment