Wednesday 10 June 2015

Iktibar ; Suami Memberi Izin Syaitan Menyetubuhi Isteri




Pesakit ini kami namakan Zizan, merupakan seorang yang agak lurus dan memang tidak suka mencari masalah. Kehidupan Zizan bersama isteri dan dua orang anak perempuan mereka kerap kali dilanda kesempitan dan kesukaran, namun mereka dapat mengharunginya. Zizan bekerja dengan iparnya iaitu suami adik perempuannya yang membuka bengkel kereta. Sikap Zizan yang lurus dan sangat rajin dan cekap dalam menjalankan tugasnya rupanya telah dipergunakan iparnya untuk kepentingan diri. 

Kalau diikut gaji yang dijanjikan kepada Zizan memang ianya cukup lumayan tapi malangnya gaji yang dibayar tidak pernah seperti yang dijanjikan namun Zizan hanya berdiam diri kerana tidak mahu mencari masalah. Akibatnya keluarga Zizan sendiri yang terpakasa menanggung kehidupan yang serba kekurangan dan perkara ini menimbulkan kecurigaan isterinya Mahani yang mula tidak berpuashati dengan kehidupan mereka yang sering keputusan wang. Sikap Mahani yang banyak bertanya itu ini akhirnya membawa padah.

Zizan secara tiba-tiba menjadi  seperti orang sasau, kerap menyendiri sambil asyik berbual-bual dan bergelak-ketawa dengan apa yang dianggapnya sebagai bidadari yang selalu menemaninya. Beliau juga mula mendapat bermacam-macam perkhabaran dari mereka dan mula merasakan dirinya sudah tidak lagi berada di alam manusia sebaliknya di alam kayangan. Zizan mula bijak berbicara dan kerapkali menegur mereka disekelilingnya yang dianggap  perlu diperbetulkan. Beliau kerap kali dilihat melompat ke sana kemari hingga pakaiannya kotor kerana disangkanya sedang terbang bersama para bidadari itu dan apa yang lebih membimbangkan isterinya, Zizan mula bersikap ganas.

Kerapkali Zizan didatangi berbagai makhluk yang membisikkan berbagai-bagai perkara hingga adakalanya ia bertindak seperti orang gila dan bertindak diluar dugaan. Pernah juga Zizan didatangi sejenis iblis yang menyamar sebagai bunian meminta untuk menyetubuhi isterinya dan Zizan tanpa berfikir panjang telah membenarkannya serta memaklumkan isterinya agar tidak menolak, Masya Allah. Akibatnya, Mahani  isterinya telah diperkosa dengan teruk dalam keadaan sedar hingga turun darah dan seluruh badannya kesakitan hingga kelihatan seperti perempuan yang baru melahirkan bayi. Sebenarnya perkara seperti ini memang kerap berlaku didalam keluarga yang mengalami masalah saka atau sihir yang berpanjangan, maka tidak hairanlah ramai ahli keluarga terutama perempuan, kerap mimpi bersetubuh dan melahirkan bayi.

Tidak tertahan dengan perubahan pada suaminya dan penderitaan yang terpaksa ditanggung,  Mahani menghubungi kami.  Melalui mediator, 3 ekor syaitan betina yang selama ini mendampingi dan menipu Zizan sebagai bidadari ditarik keluar dan 7 ekor syaitan lain juga dikeluarkan. Mereka ini sebaik sahaja berada di dalam mediator, terus sahaja meminta pulut kuning dan telur kerana kelaparan. Ternyata mereka ini adalah saka tahap satu dari keturunan Zizan sendiri.

Memandangkan kesemua gangguan pada Zizan ada perjanjian atau MOU yang perlu dibatalkan kami syorkan kepada Zizan yang sudah mula sedar dan waras, agar memutuskan saka-saka tersebut namun kami agak terkejut kerana Zizan seolah-olah tidak mahu membatalkan MOU itu. Apabila tuan punya badan tidak memberi  keizinan maka semua usaha rawatan terpaksa dihentikan. Namun kami tetap menahan kesemua syaitan-syaitan itu selama 7 hari mudah-mudahan Zizan dan Mahani dapat berfikir tanpa diganggu oleh saka-saka itu.

Namun sikap Zizan selepas itu tidak juga berubah bahkan lebih buruk walaupun kesemua sakanya sudah ditahan. Selang beberapa hari, sekali lagi Mahani menghubungi kami dan dari rawatan susulan ini beberapa ekor syaitan lagi dikeluarkan tetapi kali ini mereka datang dari jalan sihir. Dari keterangan jin dan syaitan yang ditarik masuk ke dalam mediator, mereka telah dihantar oleh iparnya sendiri melalui jalan makanan yang bertujuan untuk menundukkan  Zizan supaya tetap bekerja bersama mereka tanpa menghiraukan tentang bayaran.

Sebenarnya ipar Zizan  juga merupakan seorang bomoh dan kehidupan keluarga ini terlalu fanatik kepada benda-benda khurafat manakala soal agama dan iman tidak langsung dititik beratkan. Begitu juga dengan Zizan, beliau juga terlalu berminat dengan alam mistik dan tanpa agama dan iman, maka dengan mudah syaitan mengkotak-katik pemikiran dan menguasai beliau sepenuhnya hingga tidak dapat membezakan mana yang haq dan mana yang batil maka tidak hairanlah beliau seperti tidak mahu membuang apa yang datang kepadanya. Bagi orang-orang seperti ini, kehadiran perkara-perkara ini seperti orang mengantuk disorong bantal, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.

Setelah dinasihatkan oleh adik perempuan dan iparnya, Zizan akhirnya telah menemui seorang perawat yang khabarnya  merawat secara Islam, dan melalui perawat ini akhirnya Zizan telah menyediakan setalam pulut kuning dengan  beberapa biji telur di atasnya dan dipacak serta dinyalakan sebatang lilin di atas pulut itu. Bagi isterinya Mahani, beliau seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa dan kini hanya menyesali segala apa yang telah berlaku.

Kini Zizan telahpun memperbaharui dan mengemaskini MOU yang lama dan beliau sudah bergelar tuan kepada saka-saka itu, dan sejak itu beliau sangat membenci kami perawat Nasrullah. 

Buat pengetahuan kita semua, lazimnya saka pada peringkat awal hanya akan mengikuti dan memerhati bakal tuannya dari jauh dan ianya akan mula bertindak pada masa yang sesuai iaitu semasa lalai, dalam keadaan lemah atau sudah uzur, tetapi sekiranya bakal tuannya ini tiba-tiba menghadapi masalah samada gangguan atau sihir, saka ini akan mengambil kesempatan untuk terus masuk ke dalam tubuh tuannya itu. Apabila berlaku pertindihan saka dan sihir seperti ini, maka pesakit akan cukup menderita dan rawatan akan menjadi sangat sukar dan mahu tidak mahu, saka-saka ini mestilah diputuskan terlebih dahulu sekiranya ingin melakukan rawatan. Namun bagi kami di PRINAS, untuk merawat saka, keizinan tuan punya badan adalah kemestian dan sekiranya tuan saka ini sudah terlalu uzur, barulah keizinan dari waris pesakit dibolehkan.

Wabihi wallahu a`lam.

Monday 8 June 2015

Iktibar ; Nenek Tua DiGantung Di Pokok



Mei 2015, bulan ini kami didatangi kes-kes dimana kebanyakan pesakit mengalami persis masalah mental. Berbagai punca dan sebab yang menyebabkan pesakit menderita tetapi secara umumnya berpunca samada dari sihir atau saka dan tidak kurang pula yang menderita kerana terlalu banyak gangguan.
 
Jarang sekali pesakit-pesakit ini dapat sembuh dengan sekali dua rawatan bahkan ada yang bertahun-tahun mendapatkan rawatan namun masih juga tidak sembuh sepenuhnya. Kisah yang ingin kami iktibarkan di sini bermula apabila kami dihubungi oleh seorang ayah yang anak lelakinya sering tidak sedarkan diri lalu memencak silat dan akan menyerang sesiapa sahaja terutama bapa dan ahli keluarganya.

Banyak sekali aspek yang ingin kami sentuh melalui kisah ini sebagai iktibar kepada kita umat Islam, semoga Allah memudahkan dengan taufik dan hidayahNya agar kisah ini dapat disampaikan dan difahami sebaik mungkin.

Memandangkan keluarga ini kebanyakannya perempuan maka si ayah yang kami namakan sebagai En. Zaki terpaksa menempuh berbagai pengalaman pahit, akibat diserang anak lelakinya sendiri yang akan hilang kewarasannya pada masa-masa tertentu, demi untuk mempertahankan diri dan ahli keluarganya yang lain.
Setibanya kami ke rumah En Zaki, Alhamdulillah anak lelakinya yang kami namakan sebagai Hanif kelihatannya seperti masih waras. Maka kami memohon izin untuk mengikat Hanif sebelum memulakan rawatan dan Hanif serta keluarga En Zaki bersetuju. Kadang-kadang langkah berjaga-jaga seperti ini amat perlu bagi melancarkan usaha merawat dan mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini.

Menurut Hanif, beliau sering melihat kelibat seorang nenek tua datang mengganggunya, dan kami memulakan rawatan dengan clue yang diberi Hanif ini. Nenek tua ini kami seru ke dalam mediator dengan membacakan ayat-ayat tertentu dan ternyata terdapat halangan untuk mendatangkan nenek tua ini. Seorang perawat kami segera membuat scanning pantas dan mendapati nenek tua itu terikat. Saya cuba amati dengan bertafakur dan memang saya dapat melihat dengan jelas nenek tua itu sedang terikat dan digantung pada dahan sepohon pokok.

Ingin sekali saya mengajak saudara-saudari pembaca mengamati keterangan yang yang dibuat oleh Hanif yang mengatakan beliau sering diganggu oleh seorang nenek tua sedangkan nenek tersebut sedang terikat semasa pertama kali kami menemuinya. Kalau dalam mahkamah pastinya sudah ada keraguan yang timbul. Bagi kami perawat terasa seperti Hanif sedang melindungi sesuatu dengan mula menyalahkan pihak lain dan apabila perkara ini berlaku bermakna Hanif sudah mula menyukai makhluk yang menguasai dirinya dan dengan keadaan seperti ini, rawatan ini berlaku bukan dengan kerelaan Hanif tetapi sekadar menurutkan kehendak ayahnya sahaja. Rawatan yang dibuat tanpa keikhlasan dan kesungguhan dari pesakit selalunya akan tersasar.

Akhirnya ikatan yang membelenggu nenek tua itu dapat dirungkai dan beliau akhirnya dapat masuk ke dalam mediator kami. Ketika saya sedang sibuk berinteraksi dengan nenek tua ini, seorang perawat kami sudah dapat mengesan kehadiran berapa makhluk lain. Saya teruskan berinteraksi dengan nenek tua ini dan ternyata ia adalah saka keluarga En Zaki. Apabila ditanya tentang masalah yang dihadapi Hanif, nenek tua ini mula menundukkan muka dan menangis.

Menurut cerita nenek tua ini, beliau sudah cuba untuk mempertahankan Hanif dan keluarga En Zaki daripada serangan beberapa ekor syaitan yang ganas yang antaranya dikenali sebagai Megat dan Andika, namun usaha beliau gagal dan beliau sendiri telah disiksa oleh syaitan-syaitan ini. Sedang saya sibuk berdialog tiba-tiba Hanif meronta dan terus menyerang dan mencekik ayahnya En Zaki walaupun dengan keadaan terikat. Segera perawat kami dan keluarga En Zaki berusaha melepaskan cengkaman Hanif pada leher En Zaki yang sudah kelemasan. Alhamdulillah En Zaki dapat dilepaskan dan ikatan pada badan Hanif diperkemaskan namun syaitan-syaitan yang merasuk Hanif terus sahaja mengherdik nenek tua itu kerana menceritakan hal mereka ini pada kami. Nenek tua itu jelas ketakutan namun saya cuba memujuknya dengan memberi jaminan akan melepaskan nenek itu dari sebarang gangguan dari syaitan-syaitan itu insyaallah.

Kami cuba pula untuk menarik syaitan-syaitan itu ke dalam mediator namun gagal dan menurut nenek tua itu, terdapat tiga ekor syaitan iaitu Megat, Andika dan seekor lagi syaitan yang tidak dikenali serta terdapat terlalu banyak ikatan dan halangan yang membentengi syaitan-syaitan itu dari sebarang bentuk serangan. Beberapa kali saya cuba untuk menghancurkan benteng-benteng mereka disamping berwaspada pada Hanif yang sentiasa meronta-ronta untuk melepaskan diri dan dia boleh menyerang bila-bila masa sahaja. Alhamdulillah setelah beberapa kali cubaan akhirnya berjaya juga memecahkan benteng mereka. Seekor syaitan dapat ditarik masuk ke dalam mediator dan ia langsung tidak mahu bekerjasama. Ayat-ayat pelembut hati juga tidak memberi sebarang kesan dan kami tiada pilihan melainkan membunuh syaitan itu.

Syaitan kedua Megat, berkepala botak, saya cuba menyembelihnya semasa di dalam tubuh Hanif untuk menguji kekuatan benteng mereka namun gagal kerana secara tiba-tiba datang bantuan kepada pihak musuh dari luar. Ketika itu beberapa orang perawat kami ternampak seekor kucing di atas alang rumah namun bila saya melihat kearah itu, ianya sudah menghilang. Menurut seorang perawat kami yang sememangnya mampu melihat terus ke alam jin, ianya bukanlah bantuan dari manusia tetapi dari makhluk lain yang beliau tidak pernah melihatnya. Kehadiran perawat yang mempunyai kemampuan seperti ini amat penting agar segala muslihat syaitan atau jin yang membuat onar dapat dikesan.

Lazimnya apabila serangan atau bantuan dari luar seperti ini berlaku, ianya mestilah dipatahkan terlebih dahulu sebelum menyerang musuh di dalam badan pesakit kerana mereka akan membantu jin atau syaitan tersebut dan sekaligus menghalang sebarang usaha untuk membuat rawatan. Syaitan yang datang membantu ini segera kami tarik ke dalam mediator dan ketika inilah saya diperlihatkan keadaan makhluk ini, masya allah, ianya berekor panjang yang hujungnya seperti mata anak panah. Ada juga perawat kami yang dapat melihat bahawa makhluk ini bertanduk. Ini adalah cucu-cicit iblis laknatullah. Kenapa dan bagaimana makhluk ini boleh berada disini??? Lazimnya kehadiran cucu-cicit iblis ini akan menyebabkan pesakit akan diserang bertali-arus dalam bentuk yang berbagai-bagai dan mereka akan menderita dalam tempoh yang cukup panjang dan kerapkali pesakit akan kecundang atau menyertai mereka. Cucu-cicit iblis ini sebenarnya akan membuat laporan kepada iblis pada masa-masa tertentu. Jadi kerja-kerja mereka ini sentiasa dirancang dan diselia oleh iblis laknatullah. MasyaAllah.

Tanpa membuang masa segera saya sembelih makhluk ini namun ia dapat melarikan diri tetapi dalam keadaan cedera parah di lehernya. Dari kejauhan saya diperlihatkan iblis ini melarikan diri ke dalam sebuah gua lalu segera saya robohkan gua tersebut mudah-mudahan akan melambatkan beliau untuk memberi sebarang bantuan lain.

Segera Megat kami seru ke dalam mediator dan akhirnya Megat juga terkorban. Kuncu iblis yang ketiga Andika, diseru masuk namun gagal. Hairan juga kenapa Andika tidak boleh dikeluarkan dari tubuh Hanif, segera saya bertafakur mudah-mudahan mendapat jawapan. Alhamdulillah saya diperlihatkan keadaan Andika di dalam tubuh Hanif, rupa-rupanya Andika sedang menggeletar ketakutan kerana dua rakannya sudah terkorban dan kini giliran beliau pula.

Kesemua syaitan di dalam tubuh Hanif sudah dikeluarkan namun keadaan seperti masih ada yang tak kena. Keadaan rumah En Zaki terasa seperti panas membahang lalu segera saya mohon izin En Zaki untuk menemubual ahli keluarganya yang lain dan ternyata anak sulong beliau Sarah sering menghadapi masalah gangguan namun keadaannya yang tidak seserious adiknya Hanif menyebabkan masalah yang dihadapi itu tidak berapa dihiraukan. Keadaan seperti ini kerapkali berlaku dan secara logiknya, penyakit yang telah lama bertapak pastinya akan lebih sukar untuk dirawat. Rukyah yang dibacakan ternyata memberi kesan pada Sarah. Gangguan pada badannya dipindahkan ke dalam mediator dan setelah disoal siasat makhluk halus itu didapati telah mendampingi Sarah sekian lama. Tidak hairanlah Sarah sebenarnya mengalami berbagai-bagai masalah semenjak beliau masih kanak-kanak lagi.

Saka pendamping atau sahabat ini sering menimbulkan kekeliruan kerana ia tidak datang dari mana-mana ahli keluarga yang terdahulu sebaliknya memulakan hubungan baru dengan pesakit. Lazimnya mereka yang mengalami tanda-tanda seperti sering melihat kelibat atau terasa diperhatikan, akan mendapat saka jenis ini walaupun perkara ini sudah lama berlaku dan dalam tempoh yang singkat. Saka jenis ini juga jika tidak dikeluarkan dengan kaedah rawatan saka yang tepat pasti akan kembali kerana mereka telah menganggap pesakit adalah tuan mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa seseorang boleh ada saka walaupun dari keluarga yang langsung tidak mengalami masalah saka ini.

Setelah saka pendamping dan saka keluarga En Zaki diputuskan keadaan nampak lebih tenang dan akhirnya ikatan pada Hanif dibuka setelah kami pasti tiada lagi gangguan di dalam dirinya.

Rawatan-rawatan seperti ini lazimnya boleh membantu mengeluarkan gangguan dari tubuh pesakit namun untuk menghalang sebarang gangguan lain dari mengambil kesempatan terhadap pesakit yang sememangnya masih lemah merupakan masalah yang lebih besar. Kerap kali pesakit akan diserang semula namun hakikatnya bukanlah dari syaitan yang sama tetapi syaitan lain yang masuk ke tempat yang sama dan hal ini pastinya boleh menimbulkan keadaan yang sama atau lebih teruk dari sebelum membuat rawatan bergantung kepada jenis dan kekuatan syaitan yang menyerang dan akibatnya akan timbul kekeliruan dan fitnah yang sangat memudaratkan apatah lagi kes-kes seperti ini dimana iblis merupakan mastermind.

Iblis dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk membinasakan manusia dan mereka boleh menggunakan berbagai-bagai helah untuk mencapai maksud dan tujuan mereka. Dalam kes-kes rawatan kerapkali syaitan akan menimbulkan kekeliruan untuk menipu perawat namun jika mereka gagal, mereka akan cuba menipu pesakit dan warisnya pula. Sekiranya perawat, pesakit atau warisnya tidak berhati-hati dan berfikir panjang nescaya mereka akan tumpas kerana manusia hanya boleh memenangi peperangan sebegini hanya melalui dua cara iaitu dengan berlindung dengan Allah swt dan mengetahui serta memahami helah dan tipu daya syaitan yang licik. Pasti ianya kelihatan seperti sebuah permainan strategi, persenjataan dan perancangan yang terbaik pasti akan memenangi peperangan seperti ini dan mana-mana pihak yang tertipu atau terlalai pasti akan menanggung akibat yang memeritkan.

Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya pesakit merupakan orang yang tidak melaksanakan kewajipannya sebagai seorang Islam sedangkan dirinya kosong tanpa sebarang benteng dan tanpa sebarang ilmu yang bermunafaat untuk mencegahnya dari terus diperdaya, semua ini akan memudahkan kerja-kerja syaitan untuk memusnahkan pesakit sehancur-hancurnya. Apa yang membimbangkan ialah generasi sekarang ini, seperti pesakit-pesakit yang datang kepada kami dengan masalah seumpama ini, mereka seolah-olah tidak ada tuhan di dalam hati, na`uzubillah, maka tidak hairanlah syaitan dapat mengusai mereka sepenuhnya. Tidakkah kita selalu mendengar “Al-Quran itu penawar dan penyembuh bagi orang-orang beriman” Al-Israa` 82, jadi bagaimana pula bagi mereka yang tidak beriman, pasti akan kerugian atau dengan bahasa mudahnya akan lebih memudaratkan.

Bagi keluarga En Zaki, mereka menganggap usaha ini hanya untuk merawat anak mereka yang sedang sakit tetapi mereka sendiri tidak tahu apakah hakikat masalah sebenar yang mereka hadapi. Saya dimaklumkan, sebaik rawatan selesai dan kami beredar, Hanif terus memarahi kelurganya kerana merawat dirinya sedangkan dia mampu merawat dirinya sendiri. Beliau juga mengamuk lagi dan keadaannya lebih teruk dari sebelum ini.

Memang rawatan pada malam itu kami ada memutuskan dua ikatan saka tetapi ianya bukanlah apa yang ada pada diri Hanif kerana sememangnya Hanif seperti masih tidak mahu berpisah dengan apa yang mendampingi dirinya. Inilah yang dikatakan rawatan yang tersasar apabila tiada keikhlasan dan kesungguhan dari pesakit.

Wabihi wallahu a`lam.