Thursday 23 April 2015

Jenis-jenis Saka

  • Saka Umum
  • Saka Pendamping/Sahabat
  • Saka Kawasan
  • Saka Tangkal
  • Saka Jamu
  • Saka Gerondong
  • Saka Yang Berulang
  • Saka Ruh Gentayangan

 SAKA UMUM

Secara difahami umum, saka yang datang dari warisan atau keturunan yang lazimnya berpunca dari amalan ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu kebal, ilmu perdukunan, persilatan, pengasih, pelaris, penyeri, susuk, dan lain-lain amalan yang menyalahi syarak.
Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa syaitan atau jin boleh datang dan menetap pada seseorang melalui berbagai-bagai cara walaupun tidak melalui jalan warisan atau amalan. Kami contohkan seperti yang pernah di alami mereka yang memiliki saka seperti ini;
  • semasa kita ke tempat-tempat tertentu yang dihuni jin atau memasuki rumah baru terutama rumah yang lama tidak berpenghuni
  • adanya jin-jin yang tertentu, terlalu berminat pada seseorang
  • melalui mimpi seperti menerima sesuatu dalam mimpi, memiliki anak kecil, kerap melihat makhluk-makhluk aneh
  • membuat rawatan dengan mereka yang berdamping dengan jin
  • menerima amalan dari mereka yang berdamping dengan jin walaupun amalan ayat-ayat al-quran, zikrullah maupun persilatan.
  • Mereka yang memiliki saka dengan sengaja memerintah atau menyerahkan saka mereka kepada orang lain dengan berbagai cara yang tidak kita sedari.
Jin-jin yang datang mengganggu atau melalui jalan sihir, sekiranya tidak dirawat juga boleh berubah status menjadi saka. Sesetengah jin yang diutus secara sihir seperti memusnahkan sesuatu hubungan contohnya, akan cuba untuk menetap setelah tugas mereka selesai. Jadi tidak hairan kalau kita biasa mendengar orang yang setelah sekian lama sakit tiba-tiba menjadi perawat.

SAKA PENDAMPING/SAHABAT
Saka jenis ini sebenarnya tidak datang melalui jalan warisan kerana pemiliknya secara sedar atau tidak telah didampingi oleh jin atau syaitan yang berminat kepadanya. Lazimnya golongan ini akan mengalami keadaan dimana mereka kerap melihat kelibat-kelibat makhluk halus, terasa seperti diperhatikan atau terasa seperti ada orang lain bersamanya walaupun tidak kelihatan. Keadaan ini hanya berlaku beberapa ketika sahaja dan setelah sekian waktu, gangguan seumpama itu akan hilang begitu sahaja. Keadaan ini akan menyebabkan mereka menyangka bahawa gangguan tersebut sudahpun berakhir tetapi hakikatnya ia baru bermula.
Semasa gangguan berlaku, sebenarnya jin atau syaitan yang terlibat sedang mempelawa diri untuk bersahabat tetapi pelawaan ini jarang mereka yang terlibat mengambil peduli atau mengambil sebarang tindakan, akibatnya setelah sekian waktu, jin atau syaitan ini akan menganggap orang berkenaan telah sudi menerima mereka, dan  mereka akan terus menetap bersama orang tersebut sebagai saka pendamping.

SAKA KAWASAN
Saka jenis ini selalunya tidak menetap pada badan seseorang sebaliknya pada kawasan-kawasan tertentu seperti di rumah, kebun atau sebagainya sepertimana yang telah dipersetujui ketika pemeteraian perjanjian.
Saka-saka jenis ini sangat sukar dikesan. Lazimnya pesakit mengalami tanda-tanda kewujudan saka pada dirinya tetapi tidak tidak boleh dikesan dan diusir walaupun dengan kaedah pembacaan rukyah.
Mengikut tradisi rawatan Nasrullah, saka jenis ini hanya dapat dikesan dengan zikrullah atau dengan menggunakan kaedah mediator.

SAKA TANGKAL
Umumnya saka jenis ini juga tidak menetap pada tubuh badan mangsa tetapi pada benda-benda tertentu milik mangsa samada benda-benda itu dimiliki secara sedar atau tidak. Benda-benda seperti senjata lama (keris, pedang, tombak dll), barang-barang kemas (cincin, rantai, subang dll), barang-barang perhiasan rumah (buyung air, pasu, kotak-kotak simpanan), dan juga barang-barang cenderahati (minyak wangi, tasbih, pakaian dll) merupakan antara benda-benda yang kerap menjadi kediaman atau kubu saka-saka jenis ini.
Sesetengah amalan susuk juga akan mendatangkan saka jenis ini kerana jin-jin yang ditugaskan akan menetap pada benda-benda yang disusuk ke tubuh pemakai.
Saka jenis ini lebih sukar diatasi berbanding saka umum yang lain kerana benda-benda yang menjadi kediaman jin-jin berkenaan perlu dimusnahkan terlebih dahulu. Saka jenis ini juga jarang dapat dikesan dengan kaedah pembacaan rukyah.

SAKA JAMU
Saka jenis ini selalunya diberi makan atau dijamu oleh pemiliknya sebagai syarat persahabatan mereka. Antara jenis jamuan yang selalu kita dengar ialah
  • pulut kuning
  • telur mentah,
  • haiwan-haiwan ternakan seperti ayam atau kambing yang disembelih tidak mengikut syarak. Adakalanya dihidangkan separuh masak dan ada juga yang dimasak sempurna
  • menyalakan lilin pada waktu-waktu tertentu
  • mengasapkan kemenyan pada waktu-waktu tertentu
  • mengasapkan keris atau apa-apa senjata dengan kemenyan
  • mengadakan upacara-upacara tertentu termasuk berzikir yang bertujuan menjamu jin.
Hakikatnya banyak jenis jamuan yang diadakan oleh pengamal-pengamal ilmu saka atau sahabat ini mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh saka-saka berkenaan. Kekadang tuntutan saka-saka ini sangat dasyhat, sukar untuk kita mengerti kehendak pengamal-pengamalnya. Kami contohkan;
  • memijak al-quran
  • menggunakan mashaf-mashaf al-quran untuk mengelap najis
  • berzina atau memperkosa anak sendiri
  • memperkosa kaum hawa sehingga jumlah tertentu
  • mendatangi isteri dari jalan terlarang
  • menyediakan darah orang-orang tertentu. Kerapkali tuntutan sebegini jika ditunaikan akan berakhir dengan pembunuhan
Hakikatnya lagi besar dosa yang dilakukan maka akan lebih berkuasa pemilik saka berkenaan maka lebih hampirlah mereka kepada kebinasaan. Jarang sekali saka jenis ini dapat dibuang kerana pemiliknya sendiri sangat kasih kepada saka mereka melebihi anak isteri sendiri.
Sekiranya ada juga mereka dari golongan ini yang ingin membuang saka berkenaan, mereka akan dihalang dan ditentang habis-habisan oleh saka mereka sendiri. Kerapnya mereka akan menderita yang amat sangat sedangkan kehidupan keluarga porak peranda. Kerapkali hayat pengamal-pengamal saka jenis ini akan berakhir dengan cukup tragis sekiranya mereka tidak sempat bertemu mana-mana perawat yang benar-benar arif menangani masalah seumpama ini.

SAKA GERONDONG
Saka jenis ini sangat jarang ditemui bahkan didengar. Bukan kerana kurang wujudnya, tetapi tidak ramai yang dapat mengatasinya untuk menceritakan perihalnya. Dari segi istilah, pastinya kita maklum, ia bukan dari perbendaharaan istilah kita, menunjukkan betapa kurangnya pengetahuan kita tentang saka gerondong ini.
Saka ini dilahirkan oleh manusia yang samada disetubuhi atau diperkosa oleh jin. Lazimnya perempuan yang datang dari keluarga yang memiliki saka atau perempuan yang menderita akibat sihir yang berpanjangan kerap menjadi mangsa.
Mereka kerap mimpi bersetubuh atau diperkosa dan pernah bermimpi melahirkan anak. Anak yang dilahirkan dari benih jin dan manusia ini adalah ghaib dan mempunyai kekuatan dan keupayaan yang luar biasa walaupun semasa bayi. Tidak lut dengan apa-apa jua termasuk ayat-ayat al-quran kecuali dari orang-orang soleh.
Sadisnya saka gerondong ini tidak teragak-agak memperkosa ibunya sendiri. Andai lahir bayi dari kesumbangan ini, maka akan lahirlah Gerondong Special Edition yang hakikat kekuatan hanya Allah swt yang tahu.

SAKA YANG BERULANG
Saka yang telah diputuskan perjanjiannya dan diusir dengan kaedah yang tepat jarang dapat kembali kepada pemiliknya, tetapi atas sebab-sebab tertentu, keadaan ini boleh berlaku.
Selalunya keadaan ini berlaku jika pembuang saka mempunyai ahli keluarga lain yang juga memiliki saka. Saka sebenarnya di beri keistimewaan memilih tuannya sendiri dalam sesebuah keturunan. Setiap kali saka berkenaan dibuang, ia akan terus menghampiri saudara-mara yang bersaka dan selalunya kehadiran mereka sangat dialu-alukan. Apabila ia berjaya menjawat jawatan saka pada tuannya yang baru ini, maka ia mendapat haknya kembali secara otomatik untuk memilih tuannya sendiri. Maka dengan cara ini, ia akan kembali kepada tuannya yang asal. Kembali setelah diusir akan menyebabkan pembuang saka berkenaan akan lebih menderita.
Saka jenis ini juga banyak berlaku pada saka yang datang dari jalan sihir. Setiap kali saka ini dibuang dan sihir yang dibawanya dibenteras, maka tukang-tukang sihir yang terlibat akan segera mengutuskan jin yang baru. Selalunya kehadiran kali kedua ini akan membawa misi yang lebih ganas dan mangsa akan lebih menderita.
Tidak ada jalan lain melainkan mengabdi diri dan memohon pertolongan Allah dengan sungguh-sungguh kerana hanya dengan amalan ikhlas dan istiqamah sahaja yang merupakan benteng terkuat menghadapi musuh-musuh tradisi ini.

SAKA RUH  GENTAYANGAN
Mungkin agak pelik kedengarannya saka jenis ini. Selalunya saka jenis ini hanya dimiliki oleh setengah-setengah bomoh zalim yang boleh bertindak seperti talam dua muka atau gergaji dua mata. Mereka akan membantu sesiapa sahaja yang kesusahan tetapi mereka juga tidak teragak-agak untuk membinasakan manusia sekiranya imbalannya memuaskan.
Sekiranya saka ini dipergunakan untuk kerja-kerja sihir, maka mangsa lazimnya tidak dapat dirawat dengan mudah dan sekiranya ruh gentayangan ini cuba dikeluarkan, pesakit akan menderita teruk hingga boleh membawa maut.
Saka jenis ini boleh diperolehi dengan melakukan upacara pemujaan tertentu untuk memerangkap ruh dan mempergunakannya pula untuk berbagai tujuan. Saka jenis ini sukar diatasi kerana secara semulajadinya ruh boleh disakiti tetapi tidak boleh dimusnahkan.
Semoga Allah swt melindungi kita semua, Amin Ya Rabbal a’lamin....


Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;
 
Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://prinasrullah.blogger.com

1 comment:

  1. Assalamualaikum. saya mencari rawatan di sekitar Kelantan.sebelum ini saya ada terambil rokok dan makanan pemberian jiran, selepas itu saya terasa sakit dan banyak gangguan berlaku dibahagian dada,perut dan muka.

    Ini email saya : tubuhsatu@gmail.com

    ReplyDelete