Wednesday 10 June 2015

Iktibar ; Suami Memberi Izin Syaitan Menyetubuhi Isteri




Pesakit ini kami namakan Zizan, merupakan seorang yang agak lurus dan memang tidak suka mencari masalah. Kehidupan Zizan bersama isteri dan dua orang anak perempuan mereka kerap kali dilanda kesempitan dan kesukaran, namun mereka dapat mengharunginya. Zizan bekerja dengan iparnya iaitu suami adik perempuannya yang membuka bengkel kereta. Sikap Zizan yang lurus dan sangat rajin dan cekap dalam menjalankan tugasnya rupanya telah dipergunakan iparnya untuk kepentingan diri. 

Kalau diikut gaji yang dijanjikan kepada Zizan memang ianya cukup lumayan tapi malangnya gaji yang dibayar tidak pernah seperti yang dijanjikan namun Zizan hanya berdiam diri kerana tidak mahu mencari masalah. Akibatnya keluarga Zizan sendiri yang terpakasa menanggung kehidupan yang serba kekurangan dan perkara ini menimbulkan kecurigaan isterinya Mahani yang mula tidak berpuashati dengan kehidupan mereka yang sering keputusan wang. Sikap Mahani yang banyak bertanya itu ini akhirnya membawa padah.

Zizan secara tiba-tiba menjadi  seperti orang sasau, kerap menyendiri sambil asyik berbual-bual dan bergelak-ketawa dengan apa yang dianggapnya sebagai bidadari yang selalu menemaninya. Beliau juga mula mendapat bermacam-macam perkhabaran dari mereka dan mula merasakan dirinya sudah tidak lagi berada di alam manusia sebaliknya di alam kayangan. Zizan mula bijak berbicara dan kerapkali menegur mereka disekelilingnya yang dianggap  perlu diperbetulkan. Beliau kerap kali dilihat melompat ke sana kemari hingga pakaiannya kotor kerana disangkanya sedang terbang bersama para bidadari itu dan apa yang lebih membimbangkan isterinya, Zizan mula bersikap ganas.

Kerapkali Zizan didatangi berbagai makhluk yang membisikkan berbagai-bagai perkara hingga adakalanya ia bertindak seperti orang gila dan bertindak diluar dugaan. Pernah juga Zizan didatangi sejenis iblis yang menyamar sebagai bunian meminta untuk menyetubuhi isterinya dan Zizan tanpa berfikir panjang telah membenarkannya serta memaklumkan isterinya agar tidak menolak, Masya Allah. Akibatnya, Mahani  isterinya telah diperkosa dengan teruk dalam keadaan sedar hingga turun darah dan seluruh badannya kesakitan hingga kelihatan seperti perempuan yang baru melahirkan bayi. Sebenarnya perkara seperti ini memang kerap berlaku didalam keluarga yang mengalami masalah saka atau sihir yang berpanjangan, maka tidak hairanlah ramai ahli keluarga terutama perempuan, kerap mimpi bersetubuh dan melahirkan bayi.

Tidak tertahan dengan perubahan pada suaminya dan penderitaan yang terpaksa ditanggung,  Mahani menghubungi kami.  Melalui mediator, 3 ekor syaitan betina yang selama ini mendampingi dan menipu Zizan sebagai bidadari ditarik keluar dan 7 ekor syaitan lain juga dikeluarkan. Mereka ini sebaik sahaja berada di dalam mediator, terus sahaja meminta pulut kuning dan telur kerana kelaparan. Ternyata mereka ini adalah saka tahap satu dari keturunan Zizan sendiri.

Memandangkan kesemua gangguan pada Zizan ada perjanjian atau MOU yang perlu dibatalkan kami syorkan kepada Zizan yang sudah mula sedar dan waras, agar memutuskan saka-saka tersebut namun kami agak terkejut kerana Zizan seolah-olah tidak mahu membatalkan MOU itu. Apabila tuan punya badan tidak memberi  keizinan maka semua usaha rawatan terpaksa dihentikan. Namun kami tetap menahan kesemua syaitan-syaitan itu selama 7 hari mudah-mudahan Zizan dan Mahani dapat berfikir tanpa diganggu oleh saka-saka itu.

Namun sikap Zizan selepas itu tidak juga berubah bahkan lebih buruk walaupun kesemua sakanya sudah ditahan. Selang beberapa hari, sekali lagi Mahani menghubungi kami dan dari rawatan susulan ini beberapa ekor syaitan lagi dikeluarkan tetapi kali ini mereka datang dari jalan sihir. Dari keterangan jin dan syaitan yang ditarik masuk ke dalam mediator, mereka telah dihantar oleh iparnya sendiri melalui jalan makanan yang bertujuan untuk menundukkan  Zizan supaya tetap bekerja bersama mereka tanpa menghiraukan tentang bayaran.

Sebenarnya ipar Zizan  juga merupakan seorang bomoh dan kehidupan keluarga ini terlalu fanatik kepada benda-benda khurafat manakala soal agama dan iman tidak langsung dititik beratkan. Begitu juga dengan Zizan, beliau juga terlalu berminat dengan alam mistik dan tanpa agama dan iman, maka dengan mudah syaitan mengkotak-katik pemikiran dan menguasai beliau sepenuhnya hingga tidak dapat membezakan mana yang haq dan mana yang batil maka tidak hairanlah beliau seperti tidak mahu membuang apa yang datang kepadanya. Bagi orang-orang seperti ini, kehadiran perkara-perkara ini seperti orang mengantuk disorong bantal, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.

Setelah dinasihatkan oleh adik perempuan dan iparnya, Zizan akhirnya telah menemui seorang perawat yang khabarnya  merawat secara Islam, dan melalui perawat ini akhirnya Zizan telah menyediakan setalam pulut kuning dengan  beberapa biji telur di atasnya dan dipacak serta dinyalakan sebatang lilin di atas pulut itu. Bagi isterinya Mahani, beliau seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa dan kini hanya menyesali segala apa yang telah berlaku.

Kini Zizan telahpun memperbaharui dan mengemaskini MOU yang lama dan beliau sudah bergelar tuan kepada saka-saka itu, dan sejak itu beliau sangat membenci kami perawat Nasrullah. 

Buat pengetahuan kita semua, lazimnya saka pada peringkat awal hanya akan mengikuti dan memerhati bakal tuannya dari jauh dan ianya akan mula bertindak pada masa yang sesuai iaitu semasa lalai, dalam keadaan lemah atau sudah uzur, tetapi sekiranya bakal tuannya ini tiba-tiba menghadapi masalah samada gangguan atau sihir, saka ini akan mengambil kesempatan untuk terus masuk ke dalam tubuh tuannya itu. Apabila berlaku pertindihan saka dan sihir seperti ini, maka pesakit akan cukup menderita dan rawatan akan menjadi sangat sukar dan mahu tidak mahu, saka-saka ini mestilah diputuskan terlebih dahulu sekiranya ingin melakukan rawatan. Namun bagi kami di PRINAS, untuk merawat saka, keizinan tuan punya badan adalah kemestian dan sekiranya tuan saka ini sudah terlalu uzur, barulah keizinan dari waris pesakit dibolehkan.

Wabihi wallahu a`lam.

Monday 8 June 2015

Iktibar ; Nenek Tua DiGantung Di Pokok



Mei 2015, bulan ini kami didatangi kes-kes dimana kebanyakan pesakit mengalami persis masalah mental. Berbagai punca dan sebab yang menyebabkan pesakit menderita tetapi secara umumnya berpunca samada dari sihir atau saka dan tidak kurang pula yang menderita kerana terlalu banyak gangguan.
 
Jarang sekali pesakit-pesakit ini dapat sembuh dengan sekali dua rawatan bahkan ada yang bertahun-tahun mendapatkan rawatan namun masih juga tidak sembuh sepenuhnya. Kisah yang ingin kami iktibarkan di sini bermula apabila kami dihubungi oleh seorang ayah yang anak lelakinya sering tidak sedarkan diri lalu memencak silat dan akan menyerang sesiapa sahaja terutama bapa dan ahli keluarganya.

Banyak sekali aspek yang ingin kami sentuh melalui kisah ini sebagai iktibar kepada kita umat Islam, semoga Allah memudahkan dengan taufik dan hidayahNya agar kisah ini dapat disampaikan dan difahami sebaik mungkin.

Memandangkan keluarga ini kebanyakannya perempuan maka si ayah yang kami namakan sebagai En. Zaki terpaksa menempuh berbagai pengalaman pahit, akibat diserang anak lelakinya sendiri yang akan hilang kewarasannya pada masa-masa tertentu, demi untuk mempertahankan diri dan ahli keluarganya yang lain.
Setibanya kami ke rumah En Zaki, Alhamdulillah anak lelakinya yang kami namakan sebagai Hanif kelihatannya seperti masih waras. Maka kami memohon izin untuk mengikat Hanif sebelum memulakan rawatan dan Hanif serta keluarga En Zaki bersetuju. Kadang-kadang langkah berjaga-jaga seperti ini amat perlu bagi melancarkan usaha merawat dan mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini.

Menurut Hanif, beliau sering melihat kelibat seorang nenek tua datang mengganggunya, dan kami memulakan rawatan dengan clue yang diberi Hanif ini. Nenek tua ini kami seru ke dalam mediator dengan membacakan ayat-ayat tertentu dan ternyata terdapat halangan untuk mendatangkan nenek tua ini. Seorang perawat kami segera membuat scanning pantas dan mendapati nenek tua itu terikat. Saya cuba amati dengan bertafakur dan memang saya dapat melihat dengan jelas nenek tua itu sedang terikat dan digantung pada dahan sepohon pokok.

Ingin sekali saya mengajak saudara-saudari pembaca mengamati keterangan yang yang dibuat oleh Hanif yang mengatakan beliau sering diganggu oleh seorang nenek tua sedangkan nenek tersebut sedang terikat semasa pertama kali kami menemuinya. Kalau dalam mahkamah pastinya sudah ada keraguan yang timbul. Bagi kami perawat terasa seperti Hanif sedang melindungi sesuatu dengan mula menyalahkan pihak lain dan apabila perkara ini berlaku bermakna Hanif sudah mula menyukai makhluk yang menguasai dirinya dan dengan keadaan seperti ini, rawatan ini berlaku bukan dengan kerelaan Hanif tetapi sekadar menurutkan kehendak ayahnya sahaja. Rawatan yang dibuat tanpa keikhlasan dan kesungguhan dari pesakit selalunya akan tersasar.

Akhirnya ikatan yang membelenggu nenek tua itu dapat dirungkai dan beliau akhirnya dapat masuk ke dalam mediator kami. Ketika saya sedang sibuk berinteraksi dengan nenek tua ini, seorang perawat kami sudah dapat mengesan kehadiran berapa makhluk lain. Saya teruskan berinteraksi dengan nenek tua ini dan ternyata ia adalah saka keluarga En Zaki. Apabila ditanya tentang masalah yang dihadapi Hanif, nenek tua ini mula menundukkan muka dan menangis.

Menurut cerita nenek tua ini, beliau sudah cuba untuk mempertahankan Hanif dan keluarga En Zaki daripada serangan beberapa ekor syaitan yang ganas yang antaranya dikenali sebagai Megat dan Andika, namun usaha beliau gagal dan beliau sendiri telah disiksa oleh syaitan-syaitan ini. Sedang saya sibuk berdialog tiba-tiba Hanif meronta dan terus menyerang dan mencekik ayahnya En Zaki walaupun dengan keadaan terikat. Segera perawat kami dan keluarga En Zaki berusaha melepaskan cengkaman Hanif pada leher En Zaki yang sudah kelemasan. Alhamdulillah En Zaki dapat dilepaskan dan ikatan pada badan Hanif diperkemaskan namun syaitan-syaitan yang merasuk Hanif terus sahaja mengherdik nenek tua itu kerana menceritakan hal mereka ini pada kami. Nenek tua itu jelas ketakutan namun saya cuba memujuknya dengan memberi jaminan akan melepaskan nenek itu dari sebarang gangguan dari syaitan-syaitan itu insyaallah.

Kami cuba pula untuk menarik syaitan-syaitan itu ke dalam mediator namun gagal dan menurut nenek tua itu, terdapat tiga ekor syaitan iaitu Megat, Andika dan seekor lagi syaitan yang tidak dikenali serta terdapat terlalu banyak ikatan dan halangan yang membentengi syaitan-syaitan itu dari sebarang bentuk serangan. Beberapa kali saya cuba untuk menghancurkan benteng-benteng mereka disamping berwaspada pada Hanif yang sentiasa meronta-ronta untuk melepaskan diri dan dia boleh menyerang bila-bila masa sahaja. Alhamdulillah setelah beberapa kali cubaan akhirnya berjaya juga memecahkan benteng mereka. Seekor syaitan dapat ditarik masuk ke dalam mediator dan ia langsung tidak mahu bekerjasama. Ayat-ayat pelembut hati juga tidak memberi sebarang kesan dan kami tiada pilihan melainkan membunuh syaitan itu.

Syaitan kedua Megat, berkepala botak, saya cuba menyembelihnya semasa di dalam tubuh Hanif untuk menguji kekuatan benteng mereka namun gagal kerana secara tiba-tiba datang bantuan kepada pihak musuh dari luar. Ketika itu beberapa orang perawat kami ternampak seekor kucing di atas alang rumah namun bila saya melihat kearah itu, ianya sudah menghilang. Menurut seorang perawat kami yang sememangnya mampu melihat terus ke alam jin, ianya bukanlah bantuan dari manusia tetapi dari makhluk lain yang beliau tidak pernah melihatnya. Kehadiran perawat yang mempunyai kemampuan seperti ini amat penting agar segala muslihat syaitan atau jin yang membuat onar dapat dikesan.

Lazimnya apabila serangan atau bantuan dari luar seperti ini berlaku, ianya mestilah dipatahkan terlebih dahulu sebelum menyerang musuh di dalam badan pesakit kerana mereka akan membantu jin atau syaitan tersebut dan sekaligus menghalang sebarang usaha untuk membuat rawatan. Syaitan yang datang membantu ini segera kami tarik ke dalam mediator dan ketika inilah saya diperlihatkan keadaan makhluk ini, masya allah, ianya berekor panjang yang hujungnya seperti mata anak panah. Ada juga perawat kami yang dapat melihat bahawa makhluk ini bertanduk. Ini adalah cucu-cicit iblis laknatullah. Kenapa dan bagaimana makhluk ini boleh berada disini??? Lazimnya kehadiran cucu-cicit iblis ini akan menyebabkan pesakit akan diserang bertali-arus dalam bentuk yang berbagai-bagai dan mereka akan menderita dalam tempoh yang cukup panjang dan kerapkali pesakit akan kecundang atau menyertai mereka. Cucu-cicit iblis ini sebenarnya akan membuat laporan kepada iblis pada masa-masa tertentu. Jadi kerja-kerja mereka ini sentiasa dirancang dan diselia oleh iblis laknatullah. MasyaAllah.

Tanpa membuang masa segera saya sembelih makhluk ini namun ia dapat melarikan diri tetapi dalam keadaan cedera parah di lehernya. Dari kejauhan saya diperlihatkan iblis ini melarikan diri ke dalam sebuah gua lalu segera saya robohkan gua tersebut mudah-mudahan akan melambatkan beliau untuk memberi sebarang bantuan lain.

Segera Megat kami seru ke dalam mediator dan akhirnya Megat juga terkorban. Kuncu iblis yang ketiga Andika, diseru masuk namun gagal. Hairan juga kenapa Andika tidak boleh dikeluarkan dari tubuh Hanif, segera saya bertafakur mudah-mudahan mendapat jawapan. Alhamdulillah saya diperlihatkan keadaan Andika di dalam tubuh Hanif, rupa-rupanya Andika sedang menggeletar ketakutan kerana dua rakannya sudah terkorban dan kini giliran beliau pula.

Kesemua syaitan di dalam tubuh Hanif sudah dikeluarkan namun keadaan seperti masih ada yang tak kena. Keadaan rumah En Zaki terasa seperti panas membahang lalu segera saya mohon izin En Zaki untuk menemubual ahli keluarganya yang lain dan ternyata anak sulong beliau Sarah sering menghadapi masalah gangguan namun keadaannya yang tidak seserious adiknya Hanif menyebabkan masalah yang dihadapi itu tidak berapa dihiraukan. Keadaan seperti ini kerapkali berlaku dan secara logiknya, penyakit yang telah lama bertapak pastinya akan lebih sukar untuk dirawat. Rukyah yang dibacakan ternyata memberi kesan pada Sarah. Gangguan pada badannya dipindahkan ke dalam mediator dan setelah disoal siasat makhluk halus itu didapati telah mendampingi Sarah sekian lama. Tidak hairanlah Sarah sebenarnya mengalami berbagai-bagai masalah semenjak beliau masih kanak-kanak lagi.

Saka pendamping atau sahabat ini sering menimbulkan kekeliruan kerana ia tidak datang dari mana-mana ahli keluarga yang terdahulu sebaliknya memulakan hubungan baru dengan pesakit. Lazimnya mereka yang mengalami tanda-tanda seperti sering melihat kelibat atau terasa diperhatikan, akan mendapat saka jenis ini walaupun perkara ini sudah lama berlaku dan dalam tempoh yang singkat. Saka jenis ini juga jika tidak dikeluarkan dengan kaedah rawatan saka yang tepat pasti akan kembali kerana mereka telah menganggap pesakit adalah tuan mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa seseorang boleh ada saka walaupun dari keluarga yang langsung tidak mengalami masalah saka ini.

Setelah saka pendamping dan saka keluarga En Zaki diputuskan keadaan nampak lebih tenang dan akhirnya ikatan pada Hanif dibuka setelah kami pasti tiada lagi gangguan di dalam dirinya.

Rawatan-rawatan seperti ini lazimnya boleh membantu mengeluarkan gangguan dari tubuh pesakit namun untuk menghalang sebarang gangguan lain dari mengambil kesempatan terhadap pesakit yang sememangnya masih lemah merupakan masalah yang lebih besar. Kerap kali pesakit akan diserang semula namun hakikatnya bukanlah dari syaitan yang sama tetapi syaitan lain yang masuk ke tempat yang sama dan hal ini pastinya boleh menimbulkan keadaan yang sama atau lebih teruk dari sebelum membuat rawatan bergantung kepada jenis dan kekuatan syaitan yang menyerang dan akibatnya akan timbul kekeliruan dan fitnah yang sangat memudaratkan apatah lagi kes-kes seperti ini dimana iblis merupakan mastermind.

Iblis dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk membinasakan manusia dan mereka boleh menggunakan berbagai-bagai helah untuk mencapai maksud dan tujuan mereka. Dalam kes-kes rawatan kerapkali syaitan akan menimbulkan kekeliruan untuk menipu perawat namun jika mereka gagal, mereka akan cuba menipu pesakit dan warisnya pula. Sekiranya perawat, pesakit atau warisnya tidak berhati-hati dan berfikir panjang nescaya mereka akan tumpas kerana manusia hanya boleh memenangi peperangan sebegini hanya melalui dua cara iaitu dengan berlindung dengan Allah swt dan mengetahui serta memahami helah dan tipu daya syaitan yang licik. Pasti ianya kelihatan seperti sebuah permainan strategi, persenjataan dan perancangan yang terbaik pasti akan memenangi peperangan seperti ini dan mana-mana pihak yang tertipu atau terlalai pasti akan menanggung akibat yang memeritkan.

Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya pesakit merupakan orang yang tidak melaksanakan kewajipannya sebagai seorang Islam sedangkan dirinya kosong tanpa sebarang benteng dan tanpa sebarang ilmu yang bermunafaat untuk mencegahnya dari terus diperdaya, semua ini akan memudahkan kerja-kerja syaitan untuk memusnahkan pesakit sehancur-hancurnya. Apa yang membimbangkan ialah generasi sekarang ini, seperti pesakit-pesakit yang datang kepada kami dengan masalah seumpama ini, mereka seolah-olah tidak ada tuhan di dalam hati, na`uzubillah, maka tidak hairanlah syaitan dapat mengusai mereka sepenuhnya. Tidakkah kita selalu mendengar “Al-Quran itu penawar dan penyembuh bagi orang-orang beriman” Al-Israa` 82, jadi bagaimana pula bagi mereka yang tidak beriman, pasti akan kerugian atau dengan bahasa mudahnya akan lebih memudaratkan.

Bagi keluarga En Zaki, mereka menganggap usaha ini hanya untuk merawat anak mereka yang sedang sakit tetapi mereka sendiri tidak tahu apakah hakikat masalah sebenar yang mereka hadapi. Saya dimaklumkan, sebaik rawatan selesai dan kami beredar, Hanif terus memarahi kelurganya kerana merawat dirinya sedangkan dia mampu merawat dirinya sendiri. Beliau juga mengamuk lagi dan keadaannya lebih teruk dari sebelum ini.

Memang rawatan pada malam itu kami ada memutuskan dua ikatan saka tetapi ianya bukanlah apa yang ada pada diri Hanif kerana sememangnya Hanif seperti masih tidak mahu berpisah dengan apa yang mendampingi dirinya. Inilah yang dikatakan rawatan yang tersasar apabila tiada keikhlasan dan kesungguhan dari pesakit.

Wabihi wallahu a`lam.

Friday 8 May 2015

Iktibar ; Sihir Puja Burung



Lanjutan dari satu panggilan telefon dari seorang wanita yang saya namakan sebagai Noor, satu temujanji dibuat dan beliau datang ke PRINAS bersama suami dan keluarganya. Ternyata Noor seorang yang tinggi lampai tetapi terlalu kurus dan kelihatan terlalu lemah.

Menurut Noor beliau selalu sahaja sakit di dalam perut dan pada bahagian dada di bawah susu kirinya dan sering bermimpi didatangi bayi-bayi. Sebagai muqaddimah rawatan, kami mulakan dengan pembacaan beberapa ayat Al-Quran dan ternyata kesakitannya semakin ketara. Perutnya seperti dihiris-hiris dan menyucuk-nyucuk sedangkan airmata, air hidung dan air liurnya tiba-tiba sahaja meleleh dengan begitu banyak hingga terpaksa disediakan sebuah bekas untuk menadah kesemua cairan yang keluar itu.

Melihat keadaan Noor yang jelas terkesan dengan pembacaan ayat-ayat Al-Quran, maka sudah jelas adanya gangguan pada dirinya. Segera ayat-ayat untuk menarik gangguan ke dalam mediator kami bacakan dan ternyata terdapat begitu banyak gangguan dalam dirinya. Satu persatu kami keluarkan dan akhirnya muncul tiga orang nenek yang terlalu tua. Mereka mengakui sebagai nenek moyang keluarga Noor.
Sebaik kesemua gangguan dikeluarkan ternyata sudah berlaku banyak perubahan pada diri Noor. Cairan yang keluar sebelum ini sudah berhenti dan kesakitan di dalam perutnya pun menghilang kecuali sakit pada bahagian dadanya, masih tidak menunjukkan sebarang perubahan. Beberapa kali kami cuba merawat kesakitan itu namun tetap juga tiada perubahan dan lebih menyedihkan punca kesakitan itu juga tidak dapat dikesan.

Kami sarankan agar Noor memutuskan saka yang ada pada dirinya terlebih dahulu kerana kerap kali saka pada diri seseorang mampu melindungi  masalah yang sedang dialami dari dikesan. Tidak hairan mengapa ramai yang menderita sakit yang jelas kelihatan namun pemeriksaan gagal mengesan sebarang penyakit baik secara medikal mahupun rawatan alternatif.

Setelah perbincangan keluarga dibuat akhirnya Noor bersetuju memutuskan saka tersebut dan segera kami laksanakan proses tersebut namun kesakitan di dada Noor masih tidak berubah dan puncanya juga masih samar. Memandangkan proses rawatan sudah terlalu panjang maka ianya ditunda ke hari lain. Air yang sudah dibacakan zikrullah dan ayat-ayat Al-Quran kami bekalkan untuk diminum dan dibuat mandi mudah-mudah dapat membantu Noor menghadapi penyakitnya.

Keesokan harinya Noor membuat panggilan lagi mengatakan dada beliau terlalu sakit dan lanjutan dari itu kami bertandang ke rumahnya. Zikrullah yang kami bacakan ternyata tidak memberi sebarang kesan pada diri Noor mahupun kesakitan pada dadanya. Namun ada perawat kami yang dapat mengesan adanya gangguan tetapi tidak dapat untuk dipastikan. Timbul perasaan khuatir dalam diri saya sekiranya Noor mengalami penyakit barah buah dada lalu saya sarankan agar Noor datang lagi ke PRINAS untuk membuat pemeriksaan.

Selang dua hari Noor datang ke PRINAS bersama suami dan keluarganya. Sebagaimana yang telah dipersetujui, kami menjalankan pemeriksaan QRMA ke atas Noor namun ternyata tiada sebarang masalah pada buah dadanya.

Menurut Noor lagi, beliau telah didatangi sejenis lembaga seperti langsuir yang seolah-olah memarahinya sesudah kami perawat Nasrullah berkunjung ke rumahnya sebelum ini. Ternyata masih ada gangguan yang masih tidak dapat kami kesan puncanya. Sekali lagi kaedah mediator kami gunakan dan akhirnya langsuir yang mengganggu Noor dapat diseru masuk namun ia hanyalah penghuni kawasan kediaman Noor sahaja. Beberapa ekor jin lagi dapat kami pindahkan ke dalam mediator namun kesemuanya mengatakan hanya gangguan biasa sahaja hinggalah pada satu keadaan saya diperlihatkan imej beberapa ekor burung kecil yang dicabut bulunya lalu dicucuk dengan buluh kecil seperti satey lalu dipanggang separuh masak. Burung-burung itu akan dibiarkan mereput begitu sahaja dan mangsa akan menderita kesakitan dan dagingnya akan mula rosak seperti daging burung tersebut. Akibat dari daging tubuh yang rosak, mangsa berkemungkinan akan mengalami kanser payu dara bahkan ada jin yang mengatakan sudah ada ketulan dibawah susu kiri Noor.

Saya terus menguji jin-jin itu dengan bertanya “hampa ni jin jenis burung kan?” mereka terdiam dengan soalan ini. Saya biarkan jin-jin itu seketika tanpa sebarang dialog sambil memerhati dan ternyata makin lama jin-jin tersebut semakin kesakitan. “Hampa sakit ka?” tanya saya, “sakit la!” jawab jin-jin tersebut lalu saya tanya lagi tentang kesakitan mereka. Dari dialog ini ternyata jin-jin tersebut dari jenis burung yang telah dipergunakan manusia zalim. Hakikatnya jin-jin ini juga kesakitan dan sebagaimana mereka sakit begitulah kesakitan pada diri Noor. Saya menawar diri untuk merawat kesakitan yang mereka alami dan mereka begitu berbesar hati. Ayat dan doa-doa tertentu saya bacakan agar kesakitan pada  badan jin-jin tersebut hilang dan alhamdilillah akhirnya berjaya.

Jin-jin tersebut juga telah diikat agar tidak dapat melarikan diri. Sekali lagi saya menawar diri untuk membuka ikatan-ikatan tersebut dan mereka bersetuju dan  Alhamdulillah dapat dirungkai sepenuhnya. Setelah kesakitan dan ikatan  tersebut dihilangkan, ternyata mengembirakan jin-jin tersebut dan pada saat inilah perawat kami dapat mengesan adanya serangan balas dari mereka yang melakukan kerja-kerja terkutuk ini. Segera saya bacakan ayat-ayat pemecah agar segala benteng dan persediaan perang mereka musnah lalu kami seru ruhaniah mereka ini ke dalam mediator. Akhirnya manusia tersebut berada di dalam mediator namun beliau langsung tidak mahu berinteraksi. Zikirullah yang dibacakan dan ternyata membuat ruhaniah tersebut menderita. Mudah-mudahan ia mendapat pelajaran dan tidak mengulangi perbuatan sihir –menyihir ini.

Setelah selesai maka segera saya perintahkan agar jin-jin tadi mengeluarkan segala sihir yang ada dalam badan Noor dan mereka melaksanakannya dengan senang hati. Setelah sihir-sihir dalam tubuh Noor mereka keluarkan, segera saya tanya keadaan Noor dan ternyata kesakitan pada bahagian dadanya selama ini sudah hilang. Pada raut wajah Noor jelas cahaya kegembiraan bercampur kekeliruan. Menurut Noor setelah sekian lama berubat ke sana kemari, inilah pertama kali kesakitan dadanya itu hilang.

Wabihi wallahu a`lam.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;

Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://www.facebook.com/Pusat-Rawatan-Islam-Nasrullah
https://prinasrullah.blogger.com

Wednesday 29 April 2015

Iktibar ; Berjanji Dengan Syaitan, Kandungan Jadi Korban




Kisah ini bermula apabila saya didatangi seorang kawan berbangsa India, beliau bertanya jika saya dapat membantu menangani masalah saudaranya, sepasang suami isteri yang mengalami masalah kerasukan yang agak parah. Saya dimaklumkan masalah bermula setelah si isteri, kami namakan sebagai Amutha, mengalami keguguran. Dua kali si isteri mengalami keguguran dan penyakitnya semakin menjadi-jadi setelah keguguran kali kedua dan Amutha  pernah mengejar suaminya dengan parang semasa kerasukan. Masha Allah, parah juga masalah suami isteri ini.

Akhirnya satu temujanji dibuat dan kami bersetuju untuk ke rumah pasangan suami isteri ini. Suami Amutha telah bersetuju untuk menunggu saya di satu tempat sebelum dibawa ke rumah mereka. Malam itu saya berpusing-pusing beberapa kali di tempat yang dijanjikan namun orang yang berjanji untuk menunggu saya tidak langsung kelihatan. Terpaksalah malam itu kami batalkan semua urusan setelah panggilan telefon juga tidak berjawab.

Keesokan harinya saya dikejutkan oleh satu panggilan telefon, “abang, saya tunggu kenapa tak mai?” Begitulah tanya suara itu. Terkejut juga dengan kenyataan ini. Memang beliau ada menunggu kami hingga lewat malam di tempat yang dijanjikan tapi kami tidak nampak dirinya. Masha Allah, hanya Allah Yang Maha Mengetahui apakah yang telah berlaku malam itu. Namun beliau tetap juga mengharap kami datang maka satu temujanji lagi dipersetujui tetapi malam berikutnya  kami akan terus ke rumah mereka berbekalkan alamat yang beliau berikan.

Alhamdulillah sampai juga kami ke alamat yang diberikan tanpa sebarang gangguan. Setibanya kami di sana, ramai juga jiran-jiran pasangan ini yang menunggu. Memang saya agak terkejut bila bertemu pasagan ini. Mereka baru berusia belasan tahun dan hanya dibantu oleh jiran-jiran sahaja tanpa adanya ahli keluarga termasuk ibubapa mereka juga tidak kelihatan. Apabila saya tanyakan perihal ibubapa, mereka hanya mendiamkan diri. Melihatkan keadaan mereka yang seolah-olah tidak senang dengan soalan itu maka saya segera beralih ke topik  yang lain.

Ketika kami berada di rumah itu, Amutha  telah sedar dari kerasukan dan beliau masih boleh mengukir senyuman menyambut kehadiran kami walaupun nampak ada keresahan pada raut wajahnya. Saya juga tanyakan mengapa tidak pergi ke kuil untuk membuat rawatan, jawab mereka, keadaan menjadi lebih teruk selepas pergi ke kuil dan dengan sebab itulah mereka terpaksa mencari alternatif rawatan yang lain.
Bagi memulakan rawatan saya fikir lebih sesuai dengan kaedah zikrullah, maka saya meminta izin untuk menggunakan sebuah bilik yang sesuai untuk berzikir. Kami diberikan sebuah bilik malangnya bilik tersebut adalah untuk menempatkan berhala yang mereka gunakan untuk bersembahyang. Terkedu juga dua orang rakan yang bersama saya pada malam itu. Namun saya teruskan juga untuk berzikir di dalam bilik tersebut. Kita berzikir untuk mengingati Allah dan untuk membantu mereka yang memerlukan, bukannya untuk menyembah patung-patung itu.

Alhamdulillah semasa berzikir inilah saya diperlihatkan satu keadaan dimana ibu Amutha sedang menangis dan merayu-rayu di atas sebuah kubur dan seketika kemudian kelihatan satu lembaga hitam menghampiri. Walaupun ibu Amutha  ketakutan, beliau memberanikan diri juga sambil merayu lembaga itu agar membantunya.  Lembaga itu bersetuju untuk membantu ibu Amutha tetapi bersyarat dan ibu Amutha telah bersetuju dengan syarat itu.

Sebenarnya kisah yang diperlihatkan kepada saya ini telah berlaku berbelas tahun dahulu. Ketika itu, ibu Amutha mengalami masalah kemandulan. Atas desakan perasaannya sendiri, setelah gagal dengan semua bentuk rawatan, akhirnya beliau nekad untuk melakukan satu ritual di atas kubur dan akhirnya beliau berjaya mengandungkan anak pertamanya iaitu Amutha dengan bantuan syaitan yang hadir ketika upacara itu.
Mengikut perjanjian yang termeteri bersama syaitan itu, ibu Amutha mestilah menyerahkan anaknya yang pertama itu kepada syaitan tersebut. Namun naluri sang ibu yang sememangnya kasih kepada anak memaksanya mungkir akan janji tersebut dan akhirnya si ibu juga menderita penyakit yang tidak diketahui sehingga ia membenci Amutha dan tidak mahu lagi mempedulikannya.

Kerana perjanjian inilah akhirnya dua kandungan Amutha menjadi korban sebagai galang ganti anak yang dituntut syaitan tersebut. Air yang kami gunakan diserahkan kepada Amutha agar beliau mandi pada malam itu juga. Kami tetap menuggu di situ untuk melihat kesudahannya. Alhamdulillah, Amutha tersa segar sesudah mandi dengan air yang kami bacakan zikrullah. Tiada lagi perasaan-perasaan negatif yang mengganggu mindanya dan beliau kelihatan amat ceria.

Kisah ini sebenarnya telah berlaku beberapa tahun yang lalu dan saya pun dah hampir  tidak ingat lagi butir-butirnya. Namun semua ini kembali segar dalam ingatan setelah saya didatangi seorang lelaki india bersama isterinya yang sedang mendukung seorang anak. Mereka tersenyum begitu gembira melihat saya ketika itu sedang minum di sebuah kedai. Lelaki ini terus menghampiri saya dan berjabat tangan sambil mengucapkan terima kasih kerana membantu mereka dahulu. Masha Allah mereka masih mengingati saya walaupun sudah sekian lama saya merawat mereka.

Wabihi Wallahua`lam.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;

Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://www.facebook.com/Pusat-Rawatan-Islam-Nasrullah
https://prinasrullah.blogspot.com

Monday 27 April 2015

Iktibar ; Kandungan Berusia 4 Bulan Lesap

Pusat Rawatan Islam Nasrullah's photo.

Kerap juga kita dengar kejadian kehilangan bayi dari kandungan ini berlaku di dalam masyarakat kita. Fenomena ini memang sangat sukar untuk kita jelaskan dari segi logikanya namun hakikatnya ia tetap berlaku dan jarang sekali bayi yang hilang ini dapat kembali ke pangkuan ibunya
.
Kisah yang ingin kami paparkan di sini bermula apabila kami didatangi sepasang suami isteri dimana si isteri saya namakan sebagai Puan Aini, sedang hamil 4 bulan. Apa yang merisaukan pasangan ini ialah bayi di dalam kandungan itu masih tidak boleh dikesan walau sudah berkali-kali mereka membuat scanning dan perkara seperti ini sangat menghairankan mereka termasuk juga pihak hospital sendiri. Pihak hospital akhirnya mengambil keputusan untuk mencuci rahim Pn Aini.

Pasangan ini datang kepada kami agar dapat diikhtiarkan sesuatu untuk menyelamatkan bayi mereka. Ternyata terdapat tanda-tanda adanya entiti lain yang bersama mereka sewaktu pasangan ini melangkah masuk ke dalam pusat rawatan Nasrullah.

Setelah menceritakan kepada mereka tentang kaedah rawatan yang bakal kami ikhtiarkan mereka bersetuju maka makhluk halus yang bersama mereka ketika itu dipanggil masuk ke dalam tubuh mediator. Ternyata jin betina yang ada bersama mereka telah mengaku melindungi bayi di dalam kandungan itu dari dikesan. Menurut jin tersebut beliau terlalu sayangkan bayi tersebut dan ingin menjaganya seperti anak sendiri.
Setelah dipujuk akhirnya jin itu akur untuk meninggalkan bayi di dalam kandungan itu. Beliau menerima Islam dengan senang hati dan akhirnya meninggalkan pasangan itu.

Namun disangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Jin tersebut terlalu merindui dan menyayangi bayi tersebut hingga tidak dapat melupakannya. Akibatnya setelah dua hari pasangan itu datang mendapatkan rawatan, lebih kurang pukul 1.00 pagi, Puan Aini telah bermimpi didatangi seorang wanita yang tidak berwajah lalu mengusap-usap perutnya. Puan AIni tidak berupaya melakukan apa-apa, apatah lagi untuk menentang ketika perutnya diusap dan diurut hinggalah bayi dalam kandungannya lesap.

Sebaik terjaga dari tidurnya Puan Aini meraung sekuat hati kerana perutnya sudah kempis. Beliau menjadi tidak keruan seperti orang kerasukan akibat trauma kehilangan bayi secara mendadak sebegitu. Kelam kabut suami dan keluarga Puan Aini cuba menenangkan keadaannya.

Kakak Puan Aini akhirnya memaklumkan kepada kami tentang kejadian itu. Tanpa berlengah kesemua perawat Nasrullah dipanggil bagi menangani masalah Puan Aini secepat mungkin secara jarak jauh. Jin yang terlibat akhirnya berjaya diseret masuk ke dalam tubuh mediator dan setelah soal siasat akhirnya beliau mengakui bertanggung jawab terhadap kehilangan bayi Puan Aini.

Ternyata kasih sayangnya yang mendalam terhadap bayi tersebut menyebabkan beliau nekad melarikan bayi tersebut tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Kami cuba mengelak menggunakan sebarang bentuk kekerasan kerana sedikit kecuaian mungkin akan mengakibatkan bayi tersebut tidak dapat kembali lagi ke alam manusia. Pujukan demi pujukan akhirnya jin yang kami namakan sebagai Zaharah selepas beliau menerima Islam ini tunduk dan memohon maaf akan kesalahannya namun beliau meminta tempoh hingga keesokan harinya agar dia dapat lebih masa untuk bersama bayi tersebut. Permintaannya kami terima dan Zaharah kembali ke alamnya bersama bayi tersebut malam itu.

Malam berikutnya Puan AIni, suami dan keluarganya datang kepada kami dan ternyata Zaharah telah mungkir janji untuk menghantar kembali bayi tersebut. Sekali lagi Zaharah kami seru ke dalam tubuh mediator dan akhirnya Zaharah hadir. Beliau hanya berdiam diri bila ditanya tentang janjinya. Terbayang jelas kesedihan pada wajahnya untuk berpisah dengan bayi tersebut hingga Zaharah sekali lagi memohon untuk memulangkan bayi tersebut pada keesokannya namun permintaannya terus disanggah Puan Aini.

Dialog demi dialog akhirnya Zaharah bersetuju untuk memulangkan bayi tersebut. Kami terus mengarahkan Zaharah memulangkan bayi yang berkeadaan ghaib pada saat itu juga. Kelihatan tubuh mediator kami yang ditumpangi jin Zaharah seolah-olah berusaha untuk memasukkan kembali bayi tersebut ke dalam rahim Puan AIni. Bersusah-payah juga Zaharah memasukkan kembali bayi tersebut hingga beliau sendiri keletihan namun akhirnya kerjanya selesai.

Namun Puan AIni masih kecewa kerana tidak ada apa-apa perubahan pada perutnya sedangkan menurut Zaharah bayi tersebut sudah dipulangkan. Kami segera meminta Puan Aini bersabar kerana proses ini melibatkan pertukaran antara alam ghaib dan alam nyata dan sememangnya ianya memerlukan sedikt masa. Akhirnya Puan AIni terpaksa akur dengan keadaan dan mereka pulang dengan rasa kecewa.

Sebaik mereka pulang ke rumah saya meneruskan dengan zikir sambil memohon kehadrat Allah swt agar dikembalikan bayi tersebut kepada ibunya Puan AIni. Dalam keasyikan zikir ini saya telah diperlihatkan bagaimana Zaharah begitu asyik melayan seorang bayi lelaki dengan penuh kasih sayang dibawah naungan ala gazebo yang cukup cantik, bertiangkan busut-busut di dalam belantara luas. Tidak hairanlah mengapa begitu sukar Zaharah untuk melepaskan bayi tersebut kerana beliau terlalu sayang padanya.

Pagi berikutnya saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon dari Puan AIni..”ustaz..dah ada”. Alhamdulillah bayi Puan Aini sudah berada di dalam kandungannya. MasyaAllah… apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk memaklumkan, sekiranya perkara sebegini berlaku kepada sesiapapun jua, elakkan ke hospital sementara waktu kerana pihak hospital lazimnya akan mencuci rahim anda dan sekiranya rahim sudah dicuci, bayi yang hilang tersebut tidak mungkin boleh kembali lagi. Dan seperkara lagi jin yang terlibat itu jangan sekali-kali disakiti apatah lagi dibunuh kerana sekiranya jin itu mati maka tidak akan ada lagi orang yang akan menjaga bayi itu di alam jin atau untuk menghantar dan menzahirkannya kembali ke alam nyata.

Namun takdir Allah mendahului segalanya, kegembiraan Pn Aini sekali lagi direnggut. Secara tiba-tiba bayi di dalam kandungan hilang lagi. Seperti biasa kami cuba mencari sebab kepada punca kehilangan bayi tersebut, ternyata ada pihak lain yang juga berminat dengan bayi tersebut.

Apa yang menjadi kebimbangan Pn Aini ialah pihak hospital yang telah mengeluarkan arahan agar rahimnya dicuci. Maka beliau cuba sedaya upaya untuk menangguhkan proses itu agar ia dapat menyelamatkan kandungannya itu. Alhamdulillah kandungan itu dapat kembali juga setelah hampir 24 jam hilang. Perutnya yang tiba-tiba kempis itu sudah mula membuyut semula dan pergerakan yang lazim oleh seorang bayi di dalam rahim juga terasa seperti biasa.

Namun apa yang menghairankan, kandungan itu kemudiannya hilang lagi beberapa kali sesudah itu hinggalah akhirnya kami sendiri gagal untuk mengembalikan bayi tersebut. Walau bagaimana cara dan seramai manapun jin yang terlibat diseru bahkan ada yang terpaksa dibunuh, namun bayi tersebut tidak putus-putus dilarikan oleh berbagai-bagai pihak dari golongan jin. Menurut beberapa jin yang melarikan kandungan Pn Aini ini, bayi tersebut mempunyai kelebihan bergerak di alam nyata dan alam ghaib tanpa halangan dan kelebihan ini telah dihidu oleh para jin dan mereka sedaya upaya cuba untuk menjadi pengasuh kepada bayi tersebut.

Keadaan ini berterusan hinggalah waktu untuk mencuci rahim Pn Aini sebagaimana yang telah direncanakan oleh pihak hospital walaupun sudah beberapa kali Pn Aini cuba menangguhkannya. Dengan berat hati akhirnya Pn Aini akur dengan takdir, kandungan beliau akhirnya dicuci.

Wallahu a`lam.

Sesiapa yang ingin mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami;

Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://www.facebook.com/Pusat-Rawatan-Islam-Nasrullah
https://prinasrullah.blogspot.com

Iktibar ; Kekejaman Sihir Penunduk




Bermula dengan kedatangan seorang suri rumah saya namakan sebagai Nazirah, yang sekian lama menderita bersama suaminya. Badannya kurus kering seperti sekian lama tidak makan tetapi hakikatnya beliau sangat kuat makan seperti mana yang dikhabarkan suaminya.

Kedatangannya seperti orang bodoh dan tidak bermaya dan seperti  tidak mengerti suatu apapun. Ternyata bacaan rukyah memaksa makhluk halus yang bertapak di dalam tubuhnya mula bertindak-balas. Matanya mula meliar dan dengan tiba-tiba, beliau bingkas bangun dan melarikan diri secepat kilat. Pintu gril pusat rawatan ditolak begitu sahaja walaupun ianya berselak. Kelam kabut kami perawat termasuk suaminya mengejar beliau. Alhamdulillah beliau hanya berdiri terpacak seperti  sebuah patung di tengah-tengah jalan di hadapan pusat rawatan kami, terpaksalah suaminya menggendongnya masuk semula. 

Seperti kebiasaannya makhluk ini akan menjerit-jerit, memaki-hamun dan  bertindak agressif namun kami tidak melayani karenahnya.  Jin yang merasuk ini langsung tidak mahu bekerjasama untuk berbicara. Selalunya teknik mendera jin hanya  kami gunakan sebagai pilihan terakhir sekiranya kesemua teknik lain gagal. Jin ini rupa-rupanya makan pujuk juga dan akhirnya jin itu mula menangis terisak-isak apabila ditanyakan soalan-soalan kepadanya namun ia kelihatan seperti tidak mahu berbicara di hadapan khalayak ramai maka segera saya pegang lengannya dan menarik beliau ke bilik rawatan lain setelah diizinkan suaminya.

Berseorangan dengan jin ini saya memujuk lagi dengan menjanjikan kebebasan baginya dari genggaman tuannya. Ternyata jin tersebut tersentak dengan tawaran saya lalu bertanya dengan nada yang hambar “boleh ke? Seolah-olah ia tidak percaya perkara seperti itu boleh dilaksanakan lalu ia kembali membisu. Seperti  tidak mengendahkan tawaran saya maka saya katakan padanya “baiklah kalau kau tak mau maka terpulanglah!!”, lalu saya bangun meninggalkannya. Sebaik sahaja saya mula beredar terus sahaja jin itu bersuara “nanti dulu!!”. Dari dialog ini, jin tersebut meminta saya mendapat penjelasan masalah ini dari suami pesakit dan mahu saya membantu  melepaskannya dari genggaman tuannya yang katanya zalim. Masha Allah, jin mengatakan manusia zalim.

Ahli keluarga pesakit yang hadir saya jemput ke dalam bilik rawatan dan mula bertanya apakah yang telah berlaku. Menurut suami Nazirah, keluarga isterinya ini telah mengalami masalah perpecahan keluarga yang teruk bermula apabila seorang kakak Nazirah berkahwin dengan seorang lelaki. Perkahwinan ini ditentang oleh kebanyakan ahli keluarga mereka kerana lelaki tersebut merupakan seorang pemabuk, suka berfoya-foya dan sememangnya tidak pernah dilihat mendirikan solat tetapi lebih berbangga dengan ilmu kebatinan dan perbomohan yang ada padanya.

Walaupun ramai ahli keluarga tidak bersetuju, ia amat menghairankan kerana ibubapa Nazirah dan kakaknya tiba-tiba sahaja menerima lamaran dengan tangan terbuka. Setelah berkahwin bermulalah episod serang menyerang sesama  ahli keluarga. Bagi mereka yang tidak sehaluan dengan lelaki ini akan menderita teruk terutama Nazirah, suaminya dan ibu mereka. Maka jadilah keluarga ini berpuak-puak sesama sendiri. Motif lelaki menggunakan ilmunya menyerang Nazirah dan ibunya supaya mereka datang melutut padanya memohon maaf dan tidak lagi menentang kemahuannya. Na`uzubillah, mertua dan adik ipar sendiri disihir dengan sihir penunduk supaya melutut padanya.

Jin di dalam badan Nazirah sudah berpaling tadah malangnya usaha untuk mengeluarkannya gagal. Cubaan untuk memindahkan jin tersebut ke dalam mediator juga gagal, ternyata jin tersebut telah diikat dengan begitu kuat ke tubuh Nazirah. Sememangnya sihir jenis ikatan seumpama  ini hanya boleh dirawat setelah ikatan itu dibuka.

Sebagaimana yang telah dijanjikan pada jin tersebut, saya memulakan pembacaan ayat-ayat Al-Quran untuk memutuskan ikatan-ikatan tersebut. Sebaik selesai  bacaan maka saya makrifatkan supaya ikatan itu putus. Ketika inilah Nazirah terpelanting dan terlentang dengan begitu kuat melebihi bantal yang kami sediakan dan kepalanya terhantuk pada dinding dengan begitu kuat. Masha Allah, Nazirah terus sedar dari kerasukan dan menangis di ribaan ibunya kerana kepalanya terlalu sakit. 

Setelah kesakitan dan tangisan Nazirah reda barulah rawatan kami teruskan. Ruhaniah lelaki terbabit segera kami seru ke dalam mediator setelah ayat-ayat pemecah benteng dibacakan. Beliau terus menundukkan kepala sebaik berada di dalam mediator, namun beliau tetap berdegil tanpa mahu bertolak ansur. “Kalau hang boleh sakitkan orang, kami pun boleh sakitkan hang!” ujar saya kerana sudah tidak ada jalan keluar selain dari membalas perbuatannya yang zalim.

Sebaik sahaja saya mulakan zikrullah, lelaki tersebut mula gelisah dan menggelabah. Dia mula mengeluh kerana kepanasan dan keadaannya makin lama makin teruk dan terdesak. Saya teruskan juga zikrullah mudah-mudahan beliau mendapat pelajaran dan saya hanya berhenti setelah lelaki itu mula mengalah.

Ketika saya berzikir ini, zahir lelaki tersebut sememangnya kepanasan dan beliau tidak mampu menanggungnya lalu cuba menghubungi rakannya di pantai timur untuk memulihkan keadaan. Beliau telah tergesa-gesa memandu kereta sambil menanggung penderitaan yang amat sangat ke destinasi yang hanya dia mengetahuinya namun tidak kesampaian kerana tubuhnya membengkak dan kesakitan hinggakan beliau tidak dapat meneruskan perjalanan.  Akhirnya beliau terpaksa juga menghubungi seorang saudara kepada isterinya yang paling hampir dengan lokasi beliau berhenti agar menolongnya sambil berpesan agar kejadian ini jangan dimaklumkan kepada sesiapa. Namun permintaan ini menimbulkan kecurigaan dan akhirnya tembelangnya pecah dan berita ini sampai juga kepada kami tetapi semasa sesi rawatan yang lain.

Selepas sesi rawatan seterusnya barulah Nazirah pulih sepenuhnya namun kakaknya yang menjadi mangsa sihir penunduk masih tidak dapat dirawat kerana dirinya sendiri tidak pernah percaya bahawa ia sedang sakit. Inilah masalah utama sihir ini.

Kami didatangi beberapa kes seumpama ini berturut-turut selepas Nazirah dan dengan berbagai bentuk penderitaan kepada mangsa dan ahli keluarga mereka. Ada suami yang menceraikan isterinya kerana terlalu ikutkan perempuan lain, ada anak yang tidak mengakui ibunya dan berani mengancam akan menendang  ibunya sendiri, ada juga anak yang memaki hamun ibunya sendiri, ada isteri yang menyepak suaminya di hadapan ibubapa sendiri, ada isteri yang  dibelasah dan dibaling dengan spanar, ada isteri yang suaminya tidak mahu lagi bersentuhan kerana dianggap seperti najis “babi” , ada juga isteri  yang dihentak kepalanya ke dinding, ada suami yang membawa parang dan golok apabila tidur bersama isterinya kerana menganggap isterinya curang, ada suami yang sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak ditengah-tengah malam kerana panggilan telefon dari kekasih dan ada juga orang yang paling dibenci tiba-tiba dicintai hingga sanggup bergolok-bergadai.

Kesemua ini adalah antara penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman pengamal sihir penunduk ini yang pastinya sudah hilang ras kemanusian tetapi penuh dengan ras kesyaitanan.  Adalah sukar untuk melumpuhkan terus sihir jenis ini kerana mangsa sihir tidak pernah sedar bahawa dirinya disihir dan sekiranya ada orang yang memberitahunya, pasti  orang tersebut dianggap sebagai musuhnya sedangkan orang yang menyihirnya dianggap kawan yang terbaik.

Sekiranya  didapati ada di kalangan keluarga atau kawan-kawan kita terkena sihir jenis ini harap ada yang sudi membantu kerana mereka tidak mungkin mampu membebaskan diri mereka sendiri dan salah satu kaedah untuk membantu mereka ialah dengan membacakan ayat-ayat ini secara berterusan kepada air atau makanan lalu diberikan kepada pesakit secara diam-diam dan sekiranya bimbang diketahui pesakit maka memadailah ahli keluarga di dalam rumah itu mengamalkan ayat-ayat ini secara berterusan mudah-mudahan sihir yang dikenakan itu terbatal. Ayat-ayat  tersebut ialah ayat 61 surah Al-An`am, ayat 57 surah Hud dan ayat 118 surah Al-A`raf. Sekiranya ada tanda-tanda perubahan yang positif pada diri pesakit,  segeralah dirawat kerana sihir ini hanya akan berjaya ditangani sepenuhnya sekiranya mangsa sedar dirinya sakit dan mahu dirawat.

Wabihi wallahu a`lam.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;

Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://www.facebook.com/Pusat-Rawatan-Islam-Nasrullah
https://prinasrullah.blogspot.com